Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp

Halloween: Sejauhmana Sensitiviti Kita Terhadap Agama?

Oleh: Widad Ab Qais

Perayaaan Halloween disambut pada 31 Oktober setiap tahun di kebanyakan negara Barat. Perayaan ini berasal daripada festival malam Samhain yang disambut oleh kaum Celtic Purba untuk menghalau hantu dengan memakai kostum dan membakar unggun api, namun hari ini telah berubah menjadi satu budaya untuk berseronok dan berpesta. 

Keseronokan menyambut Halloween bukan hanya “menghantui” kanak-kanak yang mahu memakai kostum, malah turut mempengaruhi keinginan anak muda yang menuntut di kolej dan universiti terutamanya di negara Barat. Bagi kanak-kanak, Halloween merupakan kesempatan untuk mereka memakai kostum dan mengutip gula-gula dari rumah ke rumah. Manakala bagi orang dewasa pula, Halloween adalah peluang untuk berpesta dan bersolek dengan kostum hantu. 

Kepada umat Islam, sudah jelas bahawa hukum menyambut perayaan Halloween adalah haram dan bertentangan dengan syariah serta prinsip Islam. Namun, hari ini ramai orang beranggapan bahawa perayaan ini sudah terpisah daripada sejarah asalnya. Bahkan ada segelintir pelajar yang mengakui rakan bukan Islam mereka juga tidak pernah ambil tahu tentang asal-usul Halloween. Mereka percaya sambutan Halloween pada hari ini hanya sekadar budaya, bukan lagi upacara agama. Labu Jack-o’-lantern yang pada asalnya diletakkan di hadapan rumah dengan tujuan untuk menghalau hantu, kini mungkin hanya sekadar menjadi budaya menghias rumah dengan ‘kelengkapan’ Halloween. 

Walaupun perayaan  Halloween tidaklah sehingga membawa kita kepada sujud ke salib mahupun menyembah berhala, tetapi sebagai seorang Muslim yang mengambil berat perihal identiti dan aqidah islami, kita perlulah merasa sensitif terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Halloween termasuklah:

1. Menyerupai amalan jahiliyah

Islam telah menyediakan panduan hidup yang sempurna dalam memelihara jati diri penganutnya. Justeru, Islam mencegah penganutnya daripada meniru perbuatan kaum lain yang menghilangkan identiti sebagai seorang Muslim. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk sebahagian dari mereka.” 

(HR Abu Dawud, hasan)

Perkataan ‘menyerupai’ di sini boleh membawa maksud berpenampilan dengan pakaian mereka, berperilaku seperti gaya hidup mereka, beretika dengan etika mereka, dan berjalan di atas jalan hidup mereka, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sebahagian ulama juga mengatakan bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka lama kelamaan akan tunduk kepada mereka. Oleh kerana itulah, kita dianjurkan supaya tidak bermudah-mudahan dalam menyerupai sekecil-kecil perbuatan orang kafir kerana ia adalah pintu menuju ketundukan kepada mereka. Dalam hal ini, menyambut Halloween walau sekadar sebagai ‘suka-suka’ boleh membawa kepada lucutnya jati diri seorang Muslim.

2. Ikhtilat/Pergaulan Bebas

Parti kostum yang dianjurkan pada sambutan Halloween sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Percampuran antara lelaki dan perempuan dalam suasana yang liar di tengah malam, bahkan mungkin keliru dengan jantina yang terlindung di sebalik kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam. 

Pergaulan bebas di malam Halloween juga berpotensi membawa kepada pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Walaupun perkara ini mungkin sudah menjadi normalisasi budaya Barat yang menerima seks bebas, bagaimana pula dengan kita sebagai seorang penganut Islam? Firman Allah swt:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” 

Surah Al-Isra' 17:32

Jelaslah Halloween merupakan peluang untuk anak muda terlibat dengan pakej ‘combo’ yang mendekatkan diri kepada zina.

3. Pembaziran wang, masa, dan tenaga

Meraikan sambutan Halloween melibatkan perbelanjaan wang, masa, dan tenaga. Wang, masa, dan tenaga yang diperuntukkan untuk perkara yang tidak memberi manfaat hanya membawa kepada pembaziran. Lihatlah berapa banyak keuntungan yang diperoleh oleh peniaga yang menjual kostum, gula-gula, serta segala kelengkapan untuk menyambut Halloween? Bagi peniaga di Amerika, Halloween berada di tempat kedua selepas Krismas sebagai perayaan yang paling menguntungkan. Untung bagi mereka, satu pembaziran buat kita. Berapa banyak pula penjimatan yang mampu kita dapatkan apabila tidak menjadi manusia yang hanya sentiasa mengikut ‘trend’? 

Firman Allah swt:

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” 

Surah Al-Isra' 17: 26-27

Membazirkan wang dan masa untuk Halloween menjadikan kita saudara syaitan yang kufur pada Tuhannya. 

4. Perbuatan Lagha & Sia-sia

Perbuatan atau amalan yang tidak mempunyai tujuan positif pada neraca agama adalah perbuatan lagha dan sia-sia. Orang beriman yang berjaya ialah mereka yang menghidarkan diri dari perkara-perkara lagha. Firman Allah swt:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Surah Al-Mu'minun 23: 1-3

Seorang Mukmin hendaklah mengawal diri dari terlibat dalam sambutan perayaan Halloween untuk mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Mengawal diri supaya kehidupan terisi dengan perkara bermanfaat, kebajikan, dan kebaikan merupakan sikap manusia yang berjaya.

Empat isu yang disebut di atas tidaklah hanya terbatas pada sambutan Halloween sahaja, bahkan aktiviti harian yang menjadi kebiasaan anak muda zaman sekarang seperti keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas, dan majlis hiburan tanpa batas juga melibatkan isu yang sama. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti kita terhadap agama. 

Seorang mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi dalam hidupnya akan melihat perkara ini sebagai satu isu yang besar. Namun bagi Muslim yang lebih cenderung untuk memenuhi keinginan nafsunya berbanding tujuan hidup yang lebih tinggi akan melihat perkara ini sebagai isu yang remeh. Tanyalah pada diri, di mana Islam dalam hidup kita? 

Seorang Muslim yang mengambil berat perihal identiti dan aqidah islami, kita perlulah merasa sensitif terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Halloween.

Artikel

Istiqamah

Oleh: Hussni Zakir Sering kali apabila kita mendengar perkataan istiqamah kita terfikir konsep pengulangan sebuah amal. Ini sebenarnya sebuah tanggapan salah dan Insyaallah dalam artikel ini saya akan membawa perspektif

Baca selanjutnya »

Maulidur Rasul dan Hari Kiamat

Oleh: Nik Nurulhidayah Nik Zainal Alam Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan

Baca selanjutnya »

Mensyukuri Nikmat Allah

Oleh: Helmi Zulkifli Syukur adalah satu perkataan yang sering kita didengari dalam hidup kita. Ianya merupakan satu perkataan yang ringkas tetapi mempunyai maksud yang unik dan padat. Setiap hari manusia

Baca selanjutnya »

Aktiviti Komuniti

Ikuti Tauladan Rasulullah SAW

Purdue University, West Lafayette – Aktivis ISMA USC, Yusuf Yaacob telah menyampaikan khutbah di Masjid lokaliti bertajuk “Memilih Contoh Tauladan”.  Khatib membuka khutbah dengan mengingatkan tentang ayat 21 di dalam

Baca selanjutnya »

Kuliah Sirah Bulanan

? Mencari semangat di tengah-tengah semester? Ingin menelusuri kisah para nabi yang sabar dalam menempuh cabaran? Atau cuma perlukan waktu santai bersama kisah zaman nabi? ? Jom join Kuliah Sirah 30 min

Baca selanjutnya »

Kelas Tahsin Al-Quran

Biro Tarbiyyah ISMA USC dengan sukacitanya akan menganjurkan kelas tahsin al-Quran bagi mempertingkatkan pembacaan Al-Quran. Pendaftaran kelas ini terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di US dan Canada. Pengajian akan

Baca selanjutnya »