berdoa bertawakkal
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp

Persiapan Mengharungi Ujian

Oleh: Yusri Jamaluddin

Hakikat kehidupan di dunia sentiasa akan dihiasi oleh ujian yang berterusan. Allah mengungkapkan hakikat ini dengan menyebut di dalam surah Al-Baqarah;

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan dan serangan penyakit, serta digoncangkan, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.

Surah Al-Baqarah:214

Jika kita perhati sorotan kisah para nabi dan rasul, jelaslah kehidupan mereka tidak lari daripada ujian. Nabi Ayyub AS diuji dengan kehilangan harta benda, penyakit kusta, seterusnya ditinggalkan anak dan isteri, namun tidak sedikitpun berganjak keimanannya kepada Allah. Nabi Nuh AS, siang dan malam istiqamah berdakwah selama 950 tahun walaupun ditolak oleh kaum dan ahli keluarga, sehingga Allah menurunkan bala terhadap mereka.

Kita mendengar kisah-kisah mereka dan kita menjadi saksi kepada keteguhan mereka. Namun apakah rahsia para nabi dan rasul dalam mengharungi ujian?

1. Qiyamullail dan zikrullah

Jika kita soroti kisah Nabi Muhammad SAW di fasa awal wahyu diturunkan, Allah mengarahkan Rasulullah SAW untuk mempersiapkan diri dengan melawan nafsu dengan bangun malam untuk menunaikan tahajjud. Allah melatih Nabi SAW untuk menguatkan keimanan dengan melaksanakan tahajjud sebagai persiapan sebelum menggalas beban dakwah.

Firmah Allah:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah (bertahajjud) pada waktu malam, melainkan hanya sedikit (masa untuk tidur). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu yang berat.

Surah Al-Muzzammil:1-5

Ini adalah satu bentuk tarbiyyah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam mempersiapkan nabi dengan kekuatan spiritual untuk menghadapi ujian yang bakal dihadapinya. Bahkan, ketika wahyu ini diturunkan kepada Nabi, para sahabat juga diwajibkan untuk bangun malam sehinggalah turunnya ayat ke 20 yang memberi keringanan kepada sahabat. Perkara ini berlangsung selama satu tahun di mana mereka akan bangun pada setiap malam untuk berdiri menunaikan tahajjud kepada Allah.

Tahajjud merupakan satu bentuk persiapan spiritual dan mental yang cukup kuat. Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu atas dasar mencari redha Allah, pastilah mempunyai keimanan yang cukup kuat untuk menghadapi dugaan yang mendatang di atas jalan dakwah. Hal ini adalah kerana hanya seorang yang mempunyai keimanan yang tinggi akan sanggup mengorbankan waktu tidur demi merendahkan diri di hadapan Allah.

Ibn Atha’illah As Sakandari menyebut tentang hakikat merendahkan diri di hadapan Allah:

Tampilkanlah (kepada Allah) dengan sesungguhnya sifat-sifat kekuranganmu, nescaya Allah menolongmu dengan sifat sifat kesempurnaanNya...

Begitulah bantuan Allah akan tiba pada hamba-hamba yang bersujud menghadapNya disaat orang lain sedang lena dibuai mimpi. Perkara ini jelas terpancar pada sebaik-baik pemimpin kepada sebaik-baik tentera yang menakluk Konstantinopal, Sultan Muhammad Al-Fateh. Al-Fateh ditarbiyyah dengan sebuah disiplin yang luar biasa. Hanya keimanan yang tinggi yang mampu menggerakkan beliau untuk konsisten bertahajjud di kegelapan malam pada setiap hari semenjak beliau aqil baligh, tanpa pernah tertinggal walaupun sekali. Jika beginilah sikap pemimpinnya, nescaya tidak hairanlah Allah memberi bantuan kemenangan kepada Al-Fateh dan tenteranya dalam membuka Kota Konstantinopal.

2. Memutuskan keterikatan dengan dunia dan jahiliyyah

Salah satu prasyarat kepada kemampuan untuk menghadapi ujian di dunia dengan redha dan tenang ialah putusnya keterikatan kepada dunia dan jahiliyyah. Keterikatan-keterikatan seseorang kepada hal-hal keduniaan adalah beban-beban yang mengikatnya daripada bebas mengejar akhirat. Seseorang yang hatinya terikat kepada dunia pasti tidak akan mampu menghadapi kesusahan tanpa mengeluh.

Syeikh Ahmad Zarruq menyebut:

Keluarlah daripada sifat-sifat kemanusiaanmu (sifat jahiliyyah yang buruk), iaitu semua sifat yang menyalahi kehambaanmu, supaya mudah bagimu untuk menyahut panggilan Allah dan mendekatiNya.

Begitulah seperti yang ditonjolkan oleh Nabi Ayyub AS; walaupun mempunyai harta yang banyak, baginda mampu untuk terus istiqamah di dalam berdakwah dan melaksanakan ketaatan kepada Allah. Sekiranya beliau masih mempunyai keterikatan kepada harta dan anak-pinak yang baru sahaja hilang daripada tangannya, apakah mungkin Nabi Ayyub masih mampu untuk istiqamah di dalam dakwah dan melaksanakan ketaatan kepada Allah? Sudah tentu tidak.

Allah berfirman:

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Surah As-Shams:9

3. Sabar dan tawakkal

Apabila seorang telah mampu memutuskan keterikatan hatinya kepada dunia, maka tinggallah untuk beliau bersabar dan menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Dalam dakwah, Allah mengarahkan Nabi SAW untuk terus bersabar mengharungi kesusahan dalam firman-firmanNya:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap rintangan dakwah)!

Surah Al-Muddassir:7

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka, dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Surah Al-Muzzammil:10

Jika kita hayati kisah Nabi Ayyub AS seperti yang digambarkan dalam Al-Quran, Allah memberikan bantuan berbentuk kesembuhan bagi penyakitnya setelah mendapati bahawa beliau seorang yang sabar.

…Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya).

Surah Saad:44

Begitulah hakikatnya Allah memberikan balasan dan bantuan kepada hamba-hambaNya yang terus sabar dan berserah diri dalam menghadapi ujian. Sebagaimana Allah telah menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub AS , menurunkan para malaikat untuk berperang bersama Nabi Muhammad SAW, begitu jugalah Allah berkuasa memberi bantuan kepada kita terhadap mereka yang menentang dakwah.

Seorang ulama tasawwuf bernama Imam Al-Sawi berkata: “Sesuatu urusan yang Allah masukkanmu padanya nescaya Allah akan membantu dan menolong dalam setiap urusanmu…”

Begitulah kefahaman seseorang yang mempunyai keimanan kepada Allah. Apabila dia melakukan sesuatu ketaatan, dia menyerahkan keputusan urusan tersebut kepada Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah;

Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

Surah Al-Muzzammil:11

Akhirnya, tugas kita di dunia adalah untuk melakukan ketaatan kepada Allah melalui amal soleh, amar makruf dan nahi mungkar. Allahlah yang menentukan hasil amalan kita, sedangkan kita tidak mempunyai apa-apa daya untuk menentukan pengakhirannya. Seorang hamba yang mengimani kuasa Allah menentukan qada’ dan qadar juga akan memahami bahawa akhirnya kita berserah kepada Allah untuk memberi kemenangan mengikut cara dan waktu yang Allah kehendaki.

Artikel

Istiqamah

Oleh: Hussni Zakir Sering kali apabila kita mendengar perkataan istiqamah kita terfikir konsep pengulangan sebuah amal. Ini sebenarnya sebuah tanggapan salah dan Insyaallah dalam artikel ini saya akan membawa perspektif

Baca selanjutnya »

Maulidur Rasul dan Hari Kiamat

Oleh: Nik Nurulhidayah Nik Zainal Alam Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan

Baca selanjutnya »

Aktiviti Komuniti

Ikuti Tauladan Rasulullah SAW

Purdue University, West Lafayette – Aktivis ISMA USC, Yusuf Yaacob telah menyampaikan khutbah di Masjid lokaliti bertajuk “Memilih Contoh Tauladan”.  Khatib membuka khutbah dengan mengingatkan tentang ayat 21 di dalam

Baca selanjutnya »

Kuliah Sirah Bulanan

? Mencari semangat di tengah-tengah semester? Ingin menelusuri kisah para nabi yang sabar dalam menempuh cabaran? Atau cuma perlukan waktu santai bersama kisah zaman nabi? ? Jom join Kuliah Sirah 30 min

Baca selanjutnya »

Kelas Tahsin Al-Quran

Biro Tarbiyyah ISMA USC dengan sukacitanya akan menganjurkan kelas tahsin al-Quran bagi mempertingkatkan pembacaan Al-Quran. Pendaftaran kelas ini terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di US dan Canada. Pengajian akan

Baca selanjutnya »